Resepi Puding Emas (1970an)

(Ayat 1970an)

Bahannya

1/2 tahil agar-agar
4 biji telur ayam
1 cawan gula
1/2 cawan gula untuk dihanguskan
3 cawan air sejuk

Peraturannya

Masak agar-agar dengan 3 cawan air sejuk sampai mendidih, pukul merah telur dengan 1 cawan gula sampai hancur betul.
Agar-agar tadi angkat dan tapis, dicampurkan dengan adunan telur dan gula yang dipukul tadi, jerang semula ke api hingga mendidih, masukkan pula gula 1/2 cawan yang dihanguskan tak pakai air tadi kacau perlahan-lahan angkat dan tuang dalam loyang agar-agar sejukkan.

...................

(Ayat abad ke-21)

Bahan-bahan:

1/2 tahil agar-agar (18.9 gram)
4 biji telur, ambil kuning sahaja
1 cawan gula
1/2 cawan gula, hanguskan tanpa air (karamel)
3 cawan air sejuk

Cara Penyediaan:

Masak agar-agar bersama 3 cawan air hingga mendidih.
Sementara itu, pukul 1 cawan gula bersama telur kuning hingga gula hancur sepenuhnya.
Angkat agar-agar yang telah mendidih dan tapis ke dalam adunan telur tadi.
Panaskan adunan ke atas api sehingga mendidih.
Masukkan gula hangus dan kacau perlahan-lahan.
Angkat dan tuang adunan ke dalam loyang agar-agar.
Sejukkan.

No comments:

Related Posts with Thumbnails